Friday, January 05, 2007

Title: 24 rumah dilanda banjir lumpur
Date of publication: 21 12 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 389
Edition: Lembah Kelang
Column: NEGERI
Page No: 09

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Satu kejadian tanah runtuh berlaku apabila sebuah saluran paip tangki bawah tanah yang membekalkan air di kawasan perumahan Taman Tasik Tambahan, Ampang dekat sini pecah hingga menyebabkan 24 buah rumah di situ dibanjiri lumpur.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, sekurang-kurangnya tiga buah rumah mengalami kesan banjir lumpur yang paling teruk.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Ahli Parlimen Ampang, Dr. Rozaidah Talib berkata, kejadian tanah runtuh itu adalah kali kedua seumpamanya berlaku di kawasan Taman Tasik Tambahan, Ampang.

'' Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, saya khuatir sekiranya terjadi lagi tanah runtuh di kawasan tersebut apatah lagi dalam musim hujan ketika ini.

'' Saya berharap agak pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) segera membuat siasatan dan mencari jalan supaya kejadian lebih buruk tidak berlaku,'' katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari.

Utusan Malaysia difahamkan, hujan lebat yang berlaku sejak beberapa hari lalu menyebabkan tanah di kawasan bukit setinggi 30 meter yang menempatkan tangki jenis 'rainforce concrete' itu menjadi lembut hingga berlakunya pergerakan.

Kesan daripada pergerakan tanah itu, saluran paip air tangki yang membekalkan 250,000 gelen air sehari kepada 2,273 penduduk kawasan tersebut pecah.

Seorang saksi kejadian, Mohd. Azmin Razali, 26, memberitahu, dia melihat tanah bergerak seperti kejadian gempa bumi diikuti dengan bunyi kuat hingga menyebabkan tembok penghadang konkrit dan beberapa pokok tumbang.

''Ketika itu saya bersarapan dengan keluarga sebelum pergi ke tempat kerja di Majlis Perbandaran Kajang. Tetapi dengan tiba-tiba saya mendengar orang meminta tolong.

''Saya keluar dan melihat tanah lumpur bergerak ke arah rumah saya dan jiran-jiran. Kamipun keluar dan cuba menyelamatkan apa yang boleh diselamatkan,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Syabas ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, pihaknya kini menjalankan siasatan berhubung kejadian tanah runtuh itu.

''Buat masa ini, masih terlalu awal untuk kami membuat sebarang kesimpulan mengenai kejadian itu sama ada disebabkan oleh hujan lebat sejak kebelakangan ini ataupun paip bocor.

''Tunggulah sehingga kami dan pihak Ikram selesai membuat kajian barulah kami akan maklumkan punca kejadian dengan lebih lanjut,'' ujarnya.

Jelasnya, untuk sementara ini Syabas akan menutup kawasan tanah runtuh itu dengan plastik bagi mengelak berlaku hakisan sekiranya hujan selain menempatkan beberapa buah tangki untuk membekalkan air kepada penduduk bagi kegunaan harian.

Sebagai langkah keselamatan, Syabas turut bertindak mengosongkan kandungan air dalam tangki tersebut bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

Caption: PANDANGAN dari atas keadaan tanah di saluran tangki simpanan air yang pecah dipercayai akibat hujan lebat di Jalan Tasik Tambahan 3, Taman Tasik Ampang dekat Kuala Lumpur, semalam.

Title: Perang terhadap Ah Long
Date of publication: 10 12 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 449
Edition: Lembah Kelang
Column: MUKA DEPAN
Page No: 01

PDRM) terpaksa menubuhkan apa yang dikenali sebagai ‘jawatankuasa kecil peminjam wang’ di seluruh negara bagi memantau kegiatan itu.

Sebagai langkah drastik, beberapa pegawai polis telah ditempatkan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantu pegawai penguat kuasa kementerian memerangi Ah Long.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau telah pun mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial supaya menyiasat skim pinjaman wang terbabit memandangkan ia kini menjadi semakin serius dan mengancam nyawa.

“Penubuhan segera jawatankuasa itu telah dibincang secara mendalam dan dijangka dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat ini. Perkara ini akan dilakukan di seluruh negara.

“Jawatankuasa itu nanti akan mengenal pasti peminjam wang yang sah dan tidak sah dan memantau terus segala aktiviti kegiatan kumpulan ceti haram atau Ah Long yang mengancam keselamatan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Program Minggu Lawatan Balai Polis, di Hotel Sri Pacific Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengikut rekod, pada tahun ini sahaja sebanyak RM47 juta pinjaman daripada ceti haram atau Ah Long dicatatkan, melibatkan 416 kes ancaman daripada Ah Long.

Trend meminjam wang daripada Ah Long juga menular di kalangan orang Melayu menyebabkan seorang peniaga Melayu dilaporkan terpaksa berhutang sehingga RM1.5 juta daripada 27 Ah Long.

Kemuncaknya baru-baru ini, sepasang suami isteri membunuh tiga anak lelaki sebelum mereka sendiri cuba membunuh diri selepas tidak tahan menanggung ugutan Ah Long akibat beban hutang yang gagal dibayar.

Mereka dikatakan terjerat gara-gara tidak dapat membayar balik pinjaman Ah Long yang mengenakan kadar faedah tidak munasabah antara 10 dan 20 peratus.

Mengulas lanjut mengenai jawatankuasa itu, Musa memberitahu, kerangka dan bidang kuasa jawatankuasa berkenaan telah dibincang secara mendalam dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

“Pegawai polis yang ditempatkan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan campur tangan jika urusniaga syarikat pinjaman wang itu membabitkan perlakuan jenayah,” katanya.

Kementerian itu ialah agensi yang bertanggungjawab membeli lesen kepada syarikat pinjaman wang.

Dalam pada itu, Musa menegaskan, polis juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan Ah Long yang semakin mengganas dan melanggar undang-undang.

Katanya, gerak-geri kumpulan itu yang gemar bertindak mengugut mangsa sehingga ada antara mangsa mengambil tindakan membunuh diri sedang diawasi rapi.

“Dengan wujudnya jawatankuasa ini nanti, gerak-geri Ah Long sentiasa dalam perhatian pihak polis.

“Mereka (Ah Long) tidak akan terlepas daripada undang-undang di atas apa juga tindakan yang mereka lakukan termasuk mengancam keselamatan orang awam. Kita tidak akan agak-agak untuk membawa mereka ke muka pengadilan,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Maximus Ongkili yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Caption: Perang terhadap Ah Long -- Polis setiap negeri tubuh jawatankuasa pantau peminjam wang.

Title: Lagi rompakan mikrocip di kompleks kargo
Date of publication: 07 12 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 174
Edition: Lembah Kelang
Column: NEGERI
Page No: 25

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Sekurang-kurangnya satu karton mikrocip bernilai RM30,000 dilaporkan hilang dalam dua siri rompakan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Sumber polis ketika dihubungi memberitahu, mikrocip berkenaan dipercayai dilarikan pada 17 November lalu dan 5 Disember semalam.

''Kita masih lagi menyiasat kejadian ini dan pihak polis kini berusaha mengesan suspek rompakan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Siasatan

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada kejadian rompakan itu ada kaitan dengan rompakan mikrocip di Pulau Pinang baru- baru ini.

''Tunggulah sehingga pihak polis selesai menjalankan siasatan mengenai kejadian ini, barulah kita akan memberi maklumat terperinci kepada pihak media,'' ujarnya.

Bulan lepas kejadian yang sama turut berlaku di Pulau Pinang membabitkan rompakan peralatan komputer dan mikrocip bernilai lebih RM40 juta di Kompleks Kargo Udara Kedua di Batu Maung.

Dalam kejadian itu, sekumpulan 20 lelaki termasuk empat orang yang berpakaian seragam Rela menyerang 17 pekerja kompleks berkenaan sebelum melarikan mikrocip menggunakan dua buah lori kontena pada kira- kira pukul 2 pagi 20 November lepas.

Title: Pasangan disyaki racun anak direman
Date of publication: 03 12 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 300
Edition: Lembah Kelang
Column: DALAM NEGERI
Page No: 04

KUALA LUMPUR 02 Dis. - Pasangan suami isteri yang disyaki memaksa tiga anak lelaki mereka meminum bahan beracun sehingga menyebabkan ketiga-tiganya mati di flat Desa Seri Putri, Desa Petaling semalam ditahan reman enam hari mulai hari ini.

Polis mendapat perintah reman untuk menahan kedua-dua suspek di tingkat enam dan tujuh Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras iaitu wad di mana mereka dirawat ketika ini.

''Polis telah mendapat perintah untuk menahan mereka selama enam hari bagi membantu siasatan ke atas kes tersebut,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Suspek yang kedua-duanya berumur 38 tahun turut meminum bahan beracun itu dengan niat untuk membunuh diri, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pasangan itu dipindahkan ke wad pesakit biasa awal pagi hari ini selepas beberapa jam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM.

Sementara itu, menurut adik lelaki salah seorang suspek, Kau Hong Kok, 32, yang juga menetap sebaris dengan rumah mangsa, kali terakhir mereka bertemu ialah ketika makan tengah hari, Rabu lalu.

''Ketika itu semua mereka termasuk anaknya yang terbunuh, Seah Siew Cheung, Seah Siew Wen dan Seah Siew Thong makan tengah hari bersama saya dan ibu, Lau Kam Moi di rumah ibu,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Seorang lagi saudara terdekat suspek yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata beberapa tahun lalu mereka pernah menetap bersama di Jalan San Peng dekat sini sebelum berpindah ke Salak Selatan.

''Selepas itu mereka pindah lagi ke Desa Seri Putri, Desa Petaling menyebabkan kami jarang berhubung.

''Sehingga kini saya sendiri tidak ketahui sama ada mereka ada masalah kewangan dan pernah meminjam wang daripada ceti haram,'' katanya yang hadir untuk melihat ketiga-tiga mayat itu di bilik mayat HUKM hari ini.

Ketiga-tiga mayat mangsa selesai menjalani bedah siasat kira-kira pukul 2.00 petang hari ini.

Title: Kerana hutang, 3 beradik mati dipaksa minum bahan peluntur
Date of publication: 02 12 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 445
Edition: Lembah Kelang
Column: MDE
Page No: 01

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Gara-gara tidak tahan menanggung beban hutang dan ancaman ceti haram, sepasang suami isteri bertindak nekad memaksa tiga anak lelaki mereka meminum bahan peluntur Clorox sehingga mati di rumah mereka di flat Desa Seri Putri, Salak Selatan di sini hari ini.
Malah pasangan suami isteri itu turut meminum bahan peluntur tersebut dengan niat untuk mati bersama anak mereka.

Kedua-duanya yang sempat diselamatkan kini berada dalam keadaan kritikal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.00 petang itu, pasangan suami isteri tersebut juga disyaki membuka gas memasak untuk melemaskan ketiga-tiga anak lelaki mereka itu.

Mangsa yang terbunuh ialah Seah Siew Cheung, 12 (kiri), Seah Siew Wen, 10, dan Seah Siew Thong, 8.

Utusan Malaysia difahamkan, kira-kira pukul 2 pagi tadi, tiga hingga empat orang samseng dipercayai ceti haram membuat bising di luar rumah pasangan suami isteri berkenaan sambil membaling batu dan menuntut sejumlah wang yang mereka pinjam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner K.C. Khaw berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita dipercayai ibu mangsa kira-kira 30 minit selepas kejadian.

''Ketika anggota polis tiba di kediaman mangsa di F-14-4, Jalan 2/125G, Desa Sri Puteri, Salak Selatan, bapa mangsa tidak membuka pintu sebaliknya menghulurkan kunci dari bawah pintu bagi membolehkan pihak polis memasuki rumah itu.

"Sebaik saja masuk, anggota polis mendapati ketiga-tiga kanak-kanak itu telah mati dengan mulut mereka dipenuhi buih,'' kata Khaw ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Pada waktu itu pasangan suami isteri berkenaan berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Mereka kemudian dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, kata Khaw, punca sebenar kejadian itu masih dalam siasatan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan yang sama, seorang jiran mangsa yang hanya dikenali sebagai Cheong berkata, lelaki berkenaan bekerja sebagai seorang pemandu pelancong di sebuah syarikat pelancongan manakala isterinya seorang penjaja di kawasan itu.

''Mereka baru sahaja enam bulan menetap di kawasan perumahan ini. Mereka hidup bahagia dan tiada sebarang masalah keluarga.

''Cuma apa yang saya dengar mereka pernah meminjam wang daripada ceti haram,'' katanya.

Wu Meng Sun, 12, rakan sekelas kepada salah seorang anak pasangan berkenaan yang belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Thong, Salak Selatan, berkata, Siew Cheung merupakan seorang pelajar yang pintar dalam kelas dan mempunyai ramai rakan.

''Dia menduduki tempat ketujuh daripada 45 pelajar dalam kelas semasa peperiksaan akhir tahun baru-baru ini.

''Bagaimanapun, hari ini dia telah pergi. Kali terakhir saya bertemunya ialah pada hari anugerah kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan lepas di mana dia mendapat keputusan 3A, 2B, 1C dan 1D,'' katanya.

Mayat ketiga-tiga beradik itu dihantar ke HUKM untuk dibedah siasat.

Title: Kedai perabot terbakar, kerugian hampir RM5 juta
Date of publication: 26 11 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 172
Edition: Lembah Kelang
Column: DALAM NEGERI
Page No: 15

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Sebuah bangunan dua tingkat yang memuatkan 15 kedai perabot musnah dalam kebakaran yang melibatkan kerugian hampir RM5 juta di Jalan Ipoh, Sentul di sini awal pagi ini.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Surina Saari berkata, kerugian tersebut melibatkan kerosakan bangunan kedai, barangan perabot serta mesin di bangunan dua tingkat itu.

Menurutnya, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan dari orang awam pukul 4.19 pagi iaitu kira-kira 10 minit selepas bangunan tersebut terbakar.

Sejurus selepas itu, katanya, seramai 40 anggota bomba dibantu enam jentera iaitu tiga buah dari Hang Tuah dan masing-masing sebuah dari Balai Bomba Sentul, Chow Kit dan Jinjang bergegas ke tempat kejadian.

‘‘Lima minit kemudian, anggota bomba sampai di tempat di situ tetapi malangnya hampir 70 peratus bangunan tersebut telah terbakar.

‘‘Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan. Namun kita percaya kebakaran bermula di bahagian tengah bangunan itu yang kemudiannya merebak ke bahagian lain,’’ ujarnya.

Pihak bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran.

Bagaimanapun jelasnya, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Title: 30 mangsa tinggal sehelai sepinggang
Date of publication: 19 11 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 226
Edition: Lembah Kelang
Column: DALAM NEGERI
Page No: 16

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Sembilan keluarga nyaris maut apabila satu kebakaran berlaku yang memusnahkan tujuh buah rumah setinggan dan sebuah kedai runcit di Kampung Kovil Hilir di Jalan Ipoh, Sentul, di sini hari ini.
Komandan Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Adnan Yem berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi itu mengakibatkan 30 mangsa tinggal sehelai sepinggang.

''Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Namun, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Jelasnya, dalam kejadian itu sebanyak 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Hang Tuah, dan Chow Kit dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan orang ramai kira-kira 10 minit selepas kejadian.

''Pihak bomba kemudian mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk memadam kebakaran itu sepenuhnya,'' ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad ketika ditemui memberitahu, dia berasa sangsi dengan punca kebakaran itu kerana sebelum ini beberapa kebakaran kecil kerap berlaku dipercayai akibat tumpahan minyak tanah.

''Saya hairan setiap kali berlaku kebakaran pasti akan terhidu bau minyak tanah hingga satu tahap minyak tanah pernah sekali ditumpahkan di hadapan rumah,'' katanya.

Sementara itu menurut Teresa Selvaraju, 78, dia dikejutkan oleh menantu perempuannya yang memintanya keluar dari rumah sebaik kebakaran itu berlaku.

''Sejurus mendengar pekikan itu saya dan keluarga terus menyelamatkan diri. Namun, kesemua harta benda musnah dalam kebakaran itu,'' katanya.

Title: Tren STAR-LRT nyaris terjunam
Date of publication: 28 10 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 446
Edition: Lembah Kelang
Column: NEGERI
Page No: 04

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Seorang pemandu Sistem Transit Aliran Ringan (STAR-LRT) menempuh pengalaman mencemaskan apabila tren yang dipandunya terbabas melewati penghadang konkrit dan tergantung pada ketinggian hampir 25 meter dari jalan raya di Stesen Sentul Timur di sini, hari ini.

Satu daripada enam koc STAR-LRT yang datang dari arah Ampang itu hampir-hampir menjunam ke atas jalan raya di stesen tersebut dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.11 pagi.

Tiada penumpang dilaporkan berada di dalam tren tersebut ketika nahas berlaku.

Pemandu berkenaan dilaporkan hanya cedera ringan.

Difahamkan, sebelum kejadian pemandu terbabit yang baru menurunkan penumpang di Stesen Sentul Timur dikatakan hendak menukar haluannya ke Ampang semula.

Bagaimanapun, dia dipercayai gagal mengawal pemanduannya. Tren berkenaan tiba-tiba bergerak laju sebelum merempuh dan memusnahkan tembok penghadang konkrit yang panjangnya kira-kira 84 meter di hujung landasan stesen berkenaan.

Saksi kejadian itu, Mohd. Rashidi Md. Zin, 50, memberitahu, dia melihat tren tersebut yang datang dari arah Ampang bergerak laju secara tiba-tiba selepas menurunkan penumpang.

''Saya tergamam dan terperanjat mendengar bunyi dentuman kuat diikuti dengan gerabak LRT menggelongsor dan hampir terjunam.

'' Saya pun menjerit dan bertakbir Allahuakhbar kerana khuatir akan berlaku perkara yang tidak diingini,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd. Rashidi yang merupakan penduduk Bandar Baru Sentul bersyukur kerana hanya sebahagian gerabak Star-LRT terlajak dari landasan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ng Lip Yong ketika ditemui pemberita berkata, kejadian itu adalah pertama kali seumpamanya di kawasan Bandar Baru Sentul.

Beliau meminta pihak berkuasa melakukan siasatan mendalam mengenai kejadian itu kerana ia melibatkan keselamatan awam.

''Saya mahu perkara ini disiasat dengan lebih telus oleh mereka yang bertanggungjawab dan berharap ia tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,'' ujarnya.

Sebelum ini, pada 6 Oktober lepas beribu-ribu pengguna Putra-LRT di ibu kota cemas apabila perkhidmatan transit aliran ringan itu tergendala disebabkan sebuah tren terkandas di Hentian Damai selama beberapa jam akibat kerosakan teknikal.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (Rapid KL), Katherine Chew ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, pihaknya kini menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

''Masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai kejadian itu sama ada disebabkan kecuaian pemandu atau kerosakan teknikal.

''Tunggulah sehingga jurutera kami selesai menyiasat perkara ini, baru kami akan maklumkan punca kejadian,'' ujarnya.

Bagaimanapun, jelasnya, semua laluan ke stesen STAR-LRT lain berjalan lancar seperti biasa kecuali Stesen Sentul yang terpaksa ditutup selama 20 minit untuk penyelenggaraan dan siasatan.

Sejak STAR-LRT dilancarkan pada tahun 1998, dianggarkan sebanyak 120,000 pengguna menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu setiap hari di Kuala Lumpur.

Caption: Saya tergamam dan terperanjat mendengar bunyi dentuman kuat diikuti dengan gerabak LRT menggelongsor dan hampir terjunam - MOHD. RASHIDI MD. ZIN Saksi

Title: 8 rumah setinggan hangus dijilat api
Date of publication: 12 10 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 299
Edition: Lembah Kelang
Column: UTUSAN KOTA
Page No: 27

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Lebih 20 orang daripada empat sekeluarga nyaris maut dalam satu kebakaran yang memusnahkan lapan buah rumah papan di kawasan setinggan Kampung Pasir, Jalan Genting Klang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Mohd. Rodzi Ismail berkata, dalam kejadian kira- kira pukul 8.00 pagi itu, kesemua mangsa dilaporkan tinggal sehelai sepinggang selepas semua harta benda mereka hangus dijilat api.

''Punca kejadian masih dalam siasatan, namun daripada lapan buah rumah yang terbakar, empat daripadanya tidak berpenghuni.

"Kesemua mangsa sempat melarikan diri sewaktu kejadian,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Jelasnya, dalam kejadian itu, sebanyak 53 anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Hang Tuah dan Wangsa Maju dikejarkan ke tempat kejadian sebaik saja menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira 20 minit selepas kejadian.

Sementara itu seorang mangsa, Masirah Sarijo, 57, berkata, kebakaran telah memusnahkan kesemua harta benda termasuk barangan kemas serta dokumen penting seperti sijil kelahirannya.

''Semuanya habis musnah, mana lagi saya hendak pergi lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya yang bakal disambut tidak lama lagi,'' katanya.

Ketika ditanya punca kebakaran, jelasnya, ia mungkin berpunca daripada rumah rumah kosong yang terletak betul-betul di bahagian tengah kawasan rumah setinggan terbabit.

''Ini kerana rumah kosong itu digunakan orang untuk mencuri elektrik memandangkan rumah itu masih dilengkapi meter elektrik,'' ujarnya.

Pemilik rumah yang dikatakan bermulanya kebakaran itu, Rubiah Mohd. Nasir, 60, berkata, dia sendiri tidak mengetahui kebakaran itu sehinggalah menerima panggilan telefon daripada jirannya kira-kira pukul 8.20 pagi tadi.

"Jiran saya memberitahu ada orang mencuri elektrik rumah saya berdasarkan longgokan wayar dari dalam sehingga ke bahagian luar rumah dan ia mungkin menjadi punca kebakaran tetapi saya sendiri tidak tahu perkara yang sebenar,'' ujarnya.

Kesemua mangsa dipindahkan buat sementara di surau Kampung Pasir Wardieburn dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

Title: 'Mat rempit' Kg. Pandan mati ditikam
Date of publication: 09 10 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 355
Edition: Lembah Kelang
Column: DALAM NEGERI
Page No: 04

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Seorang 'mat rempit' mati ditikam manakala tiga lagi cedera dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan mat rempit di Jalan Damansara Indah, di sini awal pagi ini.
Agus Asrafi Sumarji, 21, disahkan mati kira-kira pukul 3.45 pagi sejurus dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana cedera parah di dada kanan akibat tikaman senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner, Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, pergaduhan tersebut membabitkan kumpulan 'mat rempit' Hulu Langat dan Kampung Pandan.

Beliau berkata, ia tercetus apabila motosikal salah seorang 'mat rempit' Hulu Langat terlanggar motosikal 'mat rempit' Kampung Pandan semasa bertembung di hadapan stesen minyak Shell dekat Damansara, kira-kira pukul 2.30 pagi ini.

Beliau berkata, anggota 'mat rempit' Hulu Langat seramai empat orang yang menyedari mereka dalam bahaya cuba melarikan diri tetapi dihalang oleh kumpulan 'mat rempit' Kampung Pandan seramai 40 orang.

''Berlaku pergelutan selepas itu dan akibatnya salah seorang 'mat rempit' dari Hulu Langat menikam seorang daripada anggota 'mat rempit' Kampung Pandan dan mencederakan dua yang lain,'' katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini hari ini.

Difahamkan polis tiba di tempat kejadian selepas 20 minit setelah salah seorang 'mat rempit' Kampung Pandan yang terlibat dalam insiden itu meminta bantuan kerana mendapati seorang rakan mereka cedera parah.

Bagaimanapun katanya, seorang daripada anggota 'mat rempit' dari Hulu Langat hanya cedera ringan dan dibenarkan keluar dari HKL pukul 10 pagi ini.

Polis menemui sebilah pisau pemotong buah sepanjang enam inci, 200 meter dari tempat kejadian tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia digunakan suspek untuk membunuh dan mencederakan mangsa lain.

Menurut Dzuraidi, seramai 13 'mat rempit' berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun yang terlibat dalam kejadian awal pagi itu ditahan polis kira-kira pukul 6 pagi di kawasan Brickfields, manakala sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dirampas bagi membantu siasatan.

Katanya, kes ini dianggap selesai dan kesemua suspek ditahan reman di Ibu pejabat Polis Dang Wangi akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta merusuh.

Beliau juga meminta kesemua 'mat rempit' yang terlibat dalam kejadian pagi ini supaya menyerah diri ke IPD Brickfields bagi membantu siasatan.

Title: Jamil bina kehidupan baru di kampung
Date of publication: 05 10 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 163
Edition: Lembah Kelang
Column: NEGERI
Page No: 07

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Bekas tahanan paling lama yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 31 tahun semalam, Jamil Ahmad, 56, dijangka pulang ke kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah untuk memulakan kehidupan barunya hari ini.
Jamil dijemput adiknya, Zainal di rumah salah seorang ahli keluarga mereka di Seksyen 17, Shah Alam di sini.

Menurut salah seorang keluarga terdekat Zainal, abangnya dibelikan baju terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung.

"Apa yang saya pasti, abang akan menetap di kampung dan akan membina kehidupan baru di sana,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Kelmarin, Jamil dan seorang lagi rakannya, Salleh Talib, 57, masing-masing dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh dan Taiping setelah mendapat pengampunan dari Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah berhubung kesalahan merompak dengan senjata api di Alor Star tidak lama dulu.

Semasa dibebaskan Jamil yang berusia 26 tahun sewaktu disabitkan bersalah kini mencapai usia emas termasuk Salleh yang hanya berbeza setahun dengannya.

Kedua-dua sahabat itu kini bebas dengan pengampunan.

Title: Tanjung Harapan terus popular sebagai lokasi cabaran pancing
Date of publication: 23 09 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 824
Edition: Lembah Kelang
Column: PANCING
Page No: 14

SUDAH tiga tahun cabaran memancing di pantai berbatu sepanjang 1.5 kilometer di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang berhadapan dengan Port Klang Golf Resort sunyi daripada sebarang penganjuran pertandingan memancing.

Namun atas desakan kaki pancing yang sering menjadikan lokasi itu sebagai salah satu tumpuan hujung minggu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama-sama Persatuan Pengail Selangor Darul Ehsan telah menganjurkan kembali cabaran memancing di situ yang turut terkenal mempunyai spesies gemang.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan minggu lepas, kira-kira 1,000 kaki pancing yang datang dari pelbagai daerah di Selangor selain dari selatan Negeri Sembilan telah mengambil bahagian merebut hadiah wang tunai dan hadiah bernilai RM30,000 dalam acara memancing di situ.

Selain acara memancing pantai, turut diadakan kategori laut yang membolehkan kaki pancing menggunakan bot menuju ke pelbagai pelosok lubuk ikan di selat berdekatan Tanjung Harapan yang kini menjadi lokasi tumpuan pelancong hujung minggu.

Seawal pukul 6 pagi, kaki pancing sudah memenuhi sepanjang pantai Tanjung Harapan bagi menunggu permulaan Cabaran Tanjung Harapan Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2006 untuk menaikkan pelbagai spesies ikan termasuk pari, gemang, sembilang, siakap putih, talang, senangin dan jenahak.

Pelbagai umpan digunakan oleh kaki pancing yang menyertai cabaran memancing di tepi pantai dan juga kategori laut.

Selain peserta, orang ramai juga turut memenuhi kawasan pantai Tanjung Harapan bagi menyaksikan pertandingan memancing berkenaan selain mengunjungi pelbagai gerai jualan yang disediakan oleh para penaja.

Malah, kebanyakan peserta turut membawa keluarga masing-masing sebagai dorongan di samping memberi peluang kepada keluarga bersantai pada hujung minggu.

Kemuncak

Cabaran Tanjung Harapan MPK 2006 sampai ke kemuncaknya tepat pukul tiga petang apabila Mohd. Idham Jaafar, 30, dari Port Dickson, Negeri Sembilan diumumkan sebagai juara cabaran berkenaan bagi kategori pantai untuk tahun ini.

Idham yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem SiRusa, Port Dickson tidak menjangka tuah menyebelahinya.

Sebelum ini dia pernah menjadi juara pertandingan memancing di Bagan Pinang, Port Dickson tidak lama dulu.

"Saya sungguh tidak sangka. Walaupun hanya berjaya menaikkan ikan talang seberat 2.050 kilogram, ia tetap memberi laluan kepada saya untuk meraih kemenangan itu.

"Beberapa kali saya dan keluarga tersalah jalan untuk sampai ke sini, namun langkah keluar awal dari rumah memberikan kemenangan kepada saya," katanya.

Berbicara mengenai strategi, Idham menjelaskan dia tidak menggunakan apa-apa strategi pelik seperti lain-lain kaki pancing. Dia hanya menggunakan umpan udang hidup yang dibawa dari Port Dickson.

Idham berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta sebatang joran, barangan penaja dan sijil penyertaan.

Tempat kedua dimenangi oleh Situ Hitam, 44, yang berasal dari Klang, yang hanya berjaya menaikkan ikan senangin seberat 1.55 kilogram.

Situ menyifatkan kemenangan itu sebagai yang paling manis buat dirinya kerana ia adalah kejayaan pertamanya sejak dia mula berminat memancing lima tahun lalu.

"Saya bersyukur... selepas lima tahun baru kali ini saya berjaya mendapat kedudukan terbaik," ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Situ, dia sedikit terkilan kerana dia menjangka akan berjaya menaikkan ikan kurau yang dikatakan banyak terdapat di perairan Tanjung Harapan.

Petua

"Saya tahu Tanjung Harapan adalah salah satu lubuk ikan kurau, sebab itulah sehari sebelum bermulanya cabaran memancing saya menjangkakan akan berjaya menaikkan ikan kurau.

"Tetapi ikan yang ditunggu tidak kunjung tiba. Nasib baiklah senangin mengena... kalau tidak balik tangan kosonglah saya," katanya sambil ketawa.

Situ turut berkongsi petua bagaimana hendak mendapatkan ikan dengan cara mengamati arus air laut.

Katanya, jika arus air deras ia bermakna air laut akan surut dan ikan akan keluar dari lubuk masing-masing menuju ke laut.

Sebaliknya kalau air laut itu berbuih bermakna air akan beransur pasang jadi ikan akan berkurangan.

Petua ini adalah tunjuk ajar daripada arwah abangnya.

"Saya nasihatkan mereka yang belum menang supaya jangan putus asa. Cuba dan cuba lagi. Lambat laun akan menang juga seperti saya," jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Husin Abu Bakar, 46, yang berjaya menaikkan ikan jenahak seberat 1.16 kilogram diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga.

"Saya tidak sangka akan menang kerana ramai lagi kaki pancing yang hebat dalam acara hari ini," katanya.

Situ dan Husin masing-masing memenangi wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta sebatang joran, barangan penaja dan sijil penyer taan.

Bagi kategori laut pula, Mohd. On Salip muncul juara, diikuti Mohd. Razee Abd. Latip (kedua) dan Mohd. Shahril Rosly (ketiga).

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Exco Belia, Agama dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Dr. Abdul Rahman Palil.

Pertandingan ini mendapat tajaan daripada Nestle Maggi, Brahim's, Cola- Cola, Kaya Grafik, VEgood, Jalen, Pekaka Fishing Centre, CCM, CNI manakala akhbar Utusan Malaysia dan KOSMO! merupakan media rasmi.

Caption:
1. PESERTA kategori laut menunjukkan hasil yang diperoleh di Tanjung Harapan.
2. LEBIH 1,000 kaki pancing memenuhi pantai berbatu Tanjung Harapan untuk memulakan Cabaran Memancing Tanjung Harapan MPK 2006 baru- baru ini.
3. CABARAN Memancing Tanjung Harapan MPK 2006 turut memberi peluang kepada peserta membawa keluarga beriadah.
4. JOHAN Cabaran Memancing Tanjung Harapan MPK kategori Pantai, Mohd. Idham Jaffar (tengah) diapit oleh pemenang tempat kedua, Situ Hitam (kanan) dan pemenang tempat ketiga, Mohd. Husin Abu Bakar.
5. PELBAGAI jenis joran surf digunakan oleh kaki pancing pantai.
6. TAJ MOHD. KHAN bersama hadiah penaja yang dimenanginya dalam tekaan bertuah.

Title: Zenia, rumah mewah unik berciri moden
Date of publication: 08 09 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 261
Edition: Selatan
Column: NEGERI
Page No: 27

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Rangkaian rumah mewah, Zenia Parkhome milik Perdana ParkCity Sdn. Bhd di Desa ParkCity, kini menawarkan kehidupan moden yang unik dengan dek berlaman di aras atas rumah.

Menurut Pengarah Projek dan Perancang Produk bagi Perdana ParkCity Sdn. Bhd., Edmund Kong, rumah itu dilengkapi ruang tamu dan ruang makan dengan konsep terbuka mengadap kawasan komuniti berlandskap.

"Konsep rumah seperti Zenia adalah satu-satunya yang menyediakan dek berlaman di paras atas di mana ia bersambung terus dengan zon hiburan di Zenia Parkhome.

"Kami sengaja menampilkan ciri-ciri moden agar penghuninya hidup selesa dan penuh bergaya," katanya melalui satu kenyataan media di sini hari ini.

Jelasnya, Zenia menampilkan ciri-ciri moden dari segi seni bina hingga ke hiasan dalaman yang diterapkan menerusi penekanan keluasan ruang.

"Jika anda perasan, Zenia banyak menggunakan bahan kaca baik untuk tingkapnya yang luas dan ruangan-ruangannya yang lain.

"Ini akan membuatkan pemilik rumah tersebut benar-benar hidup dalam suasana moden yang diidamkan," ujarnya.

Paling istimewa katanya, jurubina rumah ini juga berjaya menggunakan kesemua ruang termasuk laluan kecil di belakang rumah yang sering kali terbiar di kebanyakan rumah teres biasa.

Untuk lorong belakang rumah di aras atas, ia dijadikan kawasan berlaman manakala aras bawah pula boleh dilepasi kereta.

"Inilah kelebihan Zenia di mana idea ini membolehkan pemilik rumah ini memandu melalui lorong ini agar semua ruang rumah tidak disia-siakan," katanya.

Rangkaian rumah mewah terbaru ini berkeluasan 5.2 hektar lengkap dengan sistem keselamatan iaitu pengawal dan berpagar.

Caption: Konsep rumah seperti Zenia adalah satu-satunya yang menyediakan dek berlaman di paras atas - EDMUND KONG Pengarah Projek dan Perancang Produk Perdana ParkCity Sdn. Bhd.

Title: Orang ramai cadang wujudkan kuota ASW 2020
Date of publication: 02 09 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 549
Edition: Lembah Kelang
Column: NEGERI
Page No: 26

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Sambutan orang ramai terhadap skim Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) yang diniagakan semula hari ini amat memberangsangkan apabila ia habis dijual dalam tempoh kurang daripada setengah jam.

Banyak pelabur yang datang sejak awal pagi ke pejabat ASNB hampa apabila petugas Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan unit baru untuk pelabur bukan bumiputera habis dijual pukul 9.57 pagi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan mereka kurang berpuas hati dan mendesak agar PNB mewujudkan kuota khas mengikut kaum berikutan agihan pembelian skim itu tidak seimbang sehingga menyebabkan pelabur-pelabur kategori kecil atau bilis terus tersisih.

Seorang suri rumah, Valarmathi Rajoo, 42, yang ke ibu pejabat PNB seawal pukul enam pagi meluahkan rasa kecewa apabila harapan untuk membeli skim ASW 2020 hari ini sekali lagi gagal.

Katanya, kejadian ini tidak ada bezanya ketika ingin membeli skim sama pada tahun lepas yang turut menghampakan walaupun datang awal.

''Saya harap PNB buatlah sesuatu seperti adakan kuota khas mengikut kaum agar tidak berlaku buruk sangka dan iri hati sesama sendiri.

''Ini kerana saya lihat terdapat pelabur yang mempunyai kuasa beli tinggi, membeli skim banyak-banyak hinggakan pihak lain hanya menggigit jari,'' katanya di sini hari ini.

Eurdip Singh, 50, yang bekerja sebagai polis bantuan pula sedar peluang untuknya membeli ASW 2020 memang tipis memandangkan dia datang agak lewat.

''Tetapi kalau unit ASW 2020 banyak atau diasingkan mengikut kaum mungkin soal ketidakpuasan hati tidak wujud .

''Ini kerana semua orang mahu beli banyak unit hinggakan orang lain langsung tidak berpeluang membeli skim tersebut,'' jelasnya.

Pendapat Eurdip itu mendapat sokongan Darmawati Abu Bakar, 48, juga suri rumah yang menetap di Kepong.

Katanya, dia terkilan melihat mereka yang gagal membeli skim ASW 2020 hari ini walaupun ada di antaranya terpaksa bangun awal semata-mata untuk mendapatkan nombor giliran.

''Apa yang mereka dapat semuanya menghampakan. Ini tidak adil bagi mereka.

''Saya minta PNB mencari inisiatif atau mewujudkan kuota khas mengikut kaum bagi mengelakkan pelabur-pelabur kategori kecil ini terus tersisih,'' ujarnya.

ASW 2020 merupakan unit amanah ekuiti pendapatan berharga tetap bagi menyediakan peluang pelaburan kepada rakyat Malaysia menjana keuntungan berterusan pada tahap risiko munasabah.

Penjualan unit baru ASW 2020 hari ini menyaksikan sebanyak 51 peratus daripada saiz satu bilion yang dijual dibuka kepada bumiputera manakala 49 peratuslagi untuk bukan bumiputera.

Dalam pada itu, Yeoh Sik Chin, 49, yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pembinaan di ibu kota merayu agar unit ASW 2020 ditambah berikutan permintaan tinggi daripada pelabur.

Katanya, unit ASW 2020 adalah peluang untuk para pelabur menjana keuntungan berterusan pada tahap risiko yang kurang.

''Jadi adalah lebih baik sekiranya unit ASW 2020 ini ditambah oleh PNB,'' ujarnya.

Mohd. Amaran Mazlan, 48, yang menetap di Kuala Lumpur pula, meluahkan kekecewaannya terhadap sikap bumiputera yang tidak mengambil peluang itu sedangkan kaum lain berebut-rebut mendapatkannya.

''Ubahlah sikap sambil lewa itu untuk kebaikan diri sendiri.

''Jangan sampai tiada kuota barulah terkial-kial memohon,'' tegasnya.

Dalam pada itu selaras dengan pertambahan sebanyak satu bilion unit baru PNB kali ini, beberapa ciri baru diperkenalkan termasuk membenarkan pelaburan menerusi Skim Pelaburan KWSP dan pindaan kelayakan umur pelabur kepada enam bulan.

PNB juga membuka cawangan baru yang berfungsi penuh melakukan urus niaga di Kuching, Sarawak serta Ipoh, Perak bermula hari ini.

Caption: Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan mereka kurang berpuas hati dan mendesak agar PNB mewujudkan kuota khas mengikut kaum berikutan agihan pembelian skim itu tidak seimbang

Title: Orang ramai cadang wujudkan kuota ASW 2020
Date of publication: 02 09 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 549
Edition: Lembah Kelang
Column: NEGERI
Page No: 26

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Sambutan orang ramai terhadap skim Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) yang diniagakan semula hari ini amat memberangsangkan apabila ia habis dijual dalam tempoh kurang daripada setengah jam.

Banyak pelabur yang datang sejak awal pagi ke pejabat ASNB hampa apabila petugas Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan unit baru untuk pelabur bukan bumiputera habis dijual pukul 9.57 pagi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan mereka kurang berpuas hati dan mendesak agar PNB mewujudkan kuota khas mengikut kaum berikutan agihan pembelian skim itu tidak seimbang sehingga menyebabkan pelabur-pelabur kategori kecil atau bilis terus tersisih.

Seorang suri rumah, Valarmathi Rajoo, 42, yang ke ibu pejabat PNB seawal pukul enam pagi meluahkan rasa kecewa apabila harapan untuk membeli skim ASW 2020 hari ini sekali lagi gagal.

Katanya, kejadian ini tidak ada bezanya ketika ingin membeli skim sama pada tahun lepas yang turut menghampakan walaupun datang awal.

''Saya harap PNB buatlah sesuatu seperti adakan kuota khas mengikut kaum agar tidak berlaku buruk sangka dan iri hati sesama sendiri.

''Ini kerana saya lihat terdapat pelabur yang mempunyai kuasa beli tinggi, membeli skim banyak-banyak hinggakan pihak lain hanya menggigit jari,'' katanya di sini hari ini.

Eurdip Singh, 50, yang bekerja sebagai polis bantuan pula sedar peluang untuknya membeli ASW 2020 memang tipis memandangkan dia datang agak lewat.

''Tetapi kalau unit ASW 2020 banyak atau diasingkan mengikut kaum mungkin soal ketidakpuasan hati tidak wujud .

''Ini kerana semua orang mahu beli banyak unit hinggakan orang lain langsung tidak berpeluang membeli skim tersebut,'' jelasnya.

Pendapat Eurdip itu mendapat sokongan Darmawati Abu Bakar, 48, juga suri rumah yang menetap di Kepong.

Katanya, dia terkilan melihat mereka yang gagal membeli skim ASW 2020 hari ini walaupun ada di antaranya terpaksa bangun awal semata-mata untuk mendapatkan nombor giliran.

''Apa yang mereka dapat semuanya menghampakan. Ini tidak adil bagi mereka.

''Saya minta PNB mencari inisiatif atau mewujudkan kuota khas mengikut kaum bagi mengelakkan pelabur-pelabur kategori kecil ini terus tersisih,'' ujarnya.

ASW 2020 merupakan unit amanah ekuiti pendapatan berharga tetap bagi menyediakan peluang pelaburan kepada rakyat Malaysia menjana keuntungan berterusan pada tahap risiko munasabah.

Penjualan unit baru ASW 2020 hari ini menyaksikan sebanyak 51 peratus daripada saiz satu bilion yang dijual dibuka kepada bumiputera manakala 49 peratuslagi untuk bukan bumiputera.

Dalam pada itu, Yeoh Sik Chin, 49, yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pembinaan di ibu kota merayu agar unit ASW 2020 ditambah berikutan permintaan tinggi daripada pelabur.

Katanya, unit ASW 2020 adalah peluang untuk para pelabur menjana keuntungan berterusan pada tahap risiko yang kurang.

''Jadi adalah lebih baik sekiranya unit ASW 2020 ini ditambah oleh PNB,'' ujarnya.

Mohd. Amaran Mazlan, 48, yang menetap di Kuala Lumpur pula, meluahkan kekecewaannya terhadap sikap bumiputera yang tidak mengambil peluang itu sedangkan kaum lain berebut-rebut mendapatkannya.

''Ubahlah sikap sambil lewa itu untuk kebaikan diri sendiri.

''Jangan sampai tiada kuota barulah terkial-kial memohon,'' tegasnya.

Dalam pada itu selaras dengan pertambahan sebanyak satu bilion unit baru PNB kali ini, beberapa ciri baru diperkenalkan termasuk membenarkan pelaburan menerusi Skim Pelaburan KWSP dan pindaan kelayakan umur pelabur kepada enam bulan.

PNB juga membuka cawangan baru yang berfungsi penuh melakukan urus niaga di Kuching, Sarawak serta Ipoh, Perak bermula hari ini.

Caption: Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan mereka kurang berpuas hati dan mendesak agar PNB mewujudkan kuota khas mengikut kaum berikutan agihan pembelian skim itu tidak seimbang

Title: Prowaris usul wujud Tabung Bantuan Pertahanan Awam
Date of publication: 02 09 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 422
Edition: Lembah Kelang
Column: NEGERI
Page No: 27

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Generasi Profesional dan Pewaris Bangsa (PROWARIS) mencadangkan diwujudkan Tabung Bantuan Pertahanan Awam Negara-negara Islam (INCDF) sebagai langkah mengelak kebergantungan dana dari kuasa-kuasa barat.

Menurut Presidennya, Feriz Omar, INCDF diusulkan kerana ia dilihat sebagai alternatif membebaskan Negara-negara Islam dari terus mengharap bantuan yang disalurkan barat termasuk badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lambat bertindak.

Katanya, kebanyakan dana yang disalurkan kepada negara-negara Islam khususnya yang terlibat dalam peperangan dan bencana alam terlalu lewat diagihkan sehingga tiada apa lagi yang boleh diselamatkan.

Padahal, jelasnya, kita sebenarnya mampu bersiap lebih awal untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan tersebut.

"Jadi adalah lebih baik sekiranya kita menubuhkan satu unit seperti INCDF yang diselia oleh sebuah Jawatankuasa Khas di bawah OIC untuk mengatasi permasaalahan ini.'' katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, cadangan meletakkan INCDF di bawah penyeliaan Jawatankuasa Khas OIC ialah bagi mengelakkan tidak berlaku penyalahgunaan dana untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Jelasnya, ini kerana dana tersebut akan digunakan untuk kepentingan dan melindungi setiap negara Islam daripada kemusnahan alam seperti gempa bumi, kejadian tsunami, letupan gunung berapi, banjir, tanah runtuh, taufan dan peperangan.

Dalam pada itu, Feriz telah berjumpa dan menghantar memorandum cadangan penubuhan INCDF kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk dipertimbangkan.

"Saya telah kemukakan cadangan INCDF kepada Abdullah dan hasilnya beliau secara tidak formal menyatakan persetujuannya selagi ia tidak berbentuk provokasi yang boleh mengganggu gugat perhubungan antarabangsa.

"Jadi, saya rasa ini peluang bagi kita memerdekakan seluruh negara Islam bersesuaian dengan slogan Prowaris sempena sambutan Kemerdekaan ke- 49 negara tahun ini, 'Islam Perlu Merdeka Tanpa Bantuan Barat dan PBB,'' ujarnya.

Beliau juga berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan, sebuah penyedia rangkaian telekomunikasi tempatan dan bagi membolehkan saluran dana INCDF dilakukan menggunakan kaedah yang paling mudah seperti menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Kami memutuskan agar dana dapat disalurkan penderma dengan cara yang efisien bersesuaian dengan teknologi masa kini.

"Sebab itu kami memilih perkhidmatan telekomunikasi yang kelihatan lebih praktikal dan tidak menyusahkan mereka,'' katanya.

Di samping itu Prowaris juga bersetuju akan mengadakan perbincangan dengan Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia) untuk penubuhan INCDF tersebut.

Namun demikian menurut Feriz, apa yang menarik mengenai INCDF ialah setiap sumbangan yang diperoleh akan ditukarkan menggunakan dinar emas.

Katanya, rasional penggunaan mata wang tersebut ialah kedudukannya yang sentiasa stabil berbanding penggunaan mata wang asing lain yang boleh dimanipulasi.

"Jadi ini sekali gus dapat mengukuhkan kedudukan dinar emas yang diperkenalkan Malaysia di samping turut mengelak menggunakan mata wang dolar Amerika yang sentiasa turun naik,'' jelasnya.

Title: Anugerah Kualiti PTU milik Pangkalan Udara Kuantan
Date of publication: 30 08 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 546
Edition: Lembah Kelang
Column: TENTERA
Page No: 12

TEMA 'Kualiti Menjana Kecemerlangan' mungkin menjadi anjakan paradigma buat pasukan Pangkalan Udara Kuantan yang dinobatkan sebagai juara bagi Anugerah Kualiti Panglima Tentera Udara (PTU) sempena Hari Kualiti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi sesi 2006.

Menurut Komander Pangkalan Udara Kuantan, Kolonel Kamalruzaman Mohd. Othman, kejayaan itu adalah berasaskan strategi yang disesuaikan dengan persembahan penyampaian powerpoint oleh pihaknya.

"Walaupun banyak projek berjaya kami bangunkan di Pangkalan Udara Kuantan, namun jika pembentangan kami gagal memuaskan hati pihak pengurusan TUDM, kami tetap akan kalah.

"Jadi, kami mengambil inisiatif memperbaiki persembahan kami dan hasilnya kami berjaya," katanya selepas membuat persembahan pada majlis anugerah itu di Kelab Rekreasi Tentera Udara (KRTU) Subang, Shah Alam baru-baru ini.

Katanya, kebanyakan penilaian untuk mendapat anugerah PTU adalah berdasarkan projek-projek yang dijalankan.

"Jika projek tersebut lebih banyak mendatangkan manfaat kepada unit dan pelanggan maka peluang untuk menang juga amat tinggi.

"Contohnya, kami berjaya mengurangkan kos pembinaan sebuah jalan yang sepatutnya bernilai RM1.5 juta kepada RM220,000 sahaja. Pengurangan ini kami peroleh melalui langkah kitar semula bahan binaan," ujarnya.

Kamalruzaman berkata, untuk berjaya mendapat anugerah itu projek-projek perlu disertakan dengan hasil yang berkualiti dan memuaskan semua pihak.

Beliau yang menerima piala pusingan, sijil dan wang tunai sebanyak RM2,000 daripada Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Ariffin bagi anugerah PTU turut menjelaskan bahawa tar yang digunakan untuk membina jalan itu diambil daripada jalan-jalan yang dikopak dari lapangan terbang yang tidak digunakan lagi.

Malah, ujarnya, pasukan mereka turut mengubahsuai kereta terpakai dan membaiki sendiri enjinnya semata-mata untuk digunakan oleh peronda bagi melakukan rondaan di sekitar pangkalan udara itu.

"Tindakan ini sebenarnya amat wajar dan praktikal memandangkan kos membeli kenderaan amat tinggi.

"Jadi apa salahnya kita memanfaatkan bahan yang ada daripada membazir," tegasnya.

Pasukan itu yang menang tempat pertama dalam Anugerah Kualiti TUDM bagi kategori Penciptaan Inovasi Sistem di samping tempat ketiga bagi kategori Pengurusan Kewangan dan Penciptaan Inovasi Teknikal. Mereka menerima menawarkan piala pusingan, sijil penyertaan dan wang tunai RM500.

Menurut Azizan, mereka yang berjaya dalam anugerah kualiti layak untuk bertanding ke peringkat Anugerah Menteri Pertahanan dan seterusnya peringkat kebangsaan jika berjaya.

Katanya, tujuan anugerah seumpama itu diadakan adalah bagi menyuntik kesedaran di kalangan warga TUDM dalam usaha mempertingkatkan kualiti kerja mereka.

"Ia penting bukan sahaja untuk memenuhi syarat bekerja tetapi juga untuk memenuhi keperluan dan kepuasan pelanggan.

"Anugerah ini akan menjadi penanda aras untuk warga TUDM mempertingkatkan lagi kualiti bekerja di setiap peringkat," katanya dalam ucapannya.

Turut menang dalam anugerah kualiti PTU ialah Pangkalan Udara Kuching dan Butterworth yang masing-masing membawa pulang piala dan sijil penyertaan untuk tempat kedua dan ketiga.

Anugerah Kualiti TUDM yang disertai oleh 31 orang dari beberapa pangkalan udara di seluruh negara dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu pengurusan sumber manusia, pengurusan projek, pengurusan kewangan, pengurusan logistik, penciptaan inovasi sistem dan penciptaan inovasi teknikal. Ia dimenangi oleh Unit Pertahanan Udara Wilayah Persekutuan Labuan, Kuching dan Semenanjung Malaysia.

Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian Sijil ISO 9001:2000 kepada Jabatan Perkhidmatan Bahagian Istiadat TUDM, Pusat Latihan Kawal dan Lapor TUDM Kuantan serta Institut Latihan Senjata dan Bahan Letupan, TUDM Butterworth.

Caption: Dari kiri Kolonel Ali Karwi, Kolonel Kamarulzaman Mohd. Othman, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Ariffin, Kolonel Jaafar Kasim, Kolonel Hashim Ishak dan Mejar Jamil Muhammed bersama cenderamata yang diterima pada Majlis Penyampaian Anugerah Kualiti PTU dan TUDM 2006 di Pangkalan Udara Subang baru-baru ini.

Title: Jasa Maimunah dikenang
Date of publication: 18 08 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 396
Edition: Lembah Kelang
Column: KELUARGA
Page No: 12

MENJADI seorang ibu kepada empat orang anak sekali gus memikul tanggungjawab sebagai seorang penyelia di Jabatan Khidmat Pelanggan, Kementerian Pertahanan Malaysia (KPM) mungkin pada kita tidaklah sehebat mereka yang bertugas sebagai anggota tentera atau ibu tunggal yang memikul dua atau tiga tugasan dalam satu masa.
Tetapi, bak kata pepatah, 'berat mata memandang berat lagi bahu memikul'. Begitulah luahan rasa hati Datin Maimunah Juman yang hampir 33 tahun mencurah bakti kepada KPM semenjak tahun 1972 lagi.

Pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa diharunginya walaupun pernah satu ketika beliau dimaki oleh pelanggan yang sengaja 'mempermainkannya' ketika menjawat jawatan operator telefon di KPM, lebih 30 tahun yang lalu.

"Pada masa itu saya terpaksa layan bermacam karenah daripada para pemanggil. Kalau kena yang bersopan tu kira nasiblah. Sebaliknya, ada juga yang sengaja membuat panggilan palsu. Mahu tak mahu kami sebagai pekerja di bawah KPM mesti akur dengan piagam organisasi dan melayan pelanggan dengan baik," katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang (Awam) oleh KPM peringkat Markas 12 Briged di Yayasan Pusat Antarabangsa, Cheras.

Menurut Maimunah, dalam tempoh 33 tahun juga, dia pernah beberapa kali ditukar tempat bekerja dari satu negeri ke satu negeri dan terpaksa berjauhan dari keluarga yang menetap di Kuala Lumpur.

"Paling meninggalkan kesan pada diri saya ialah ketika ditukarkan ke Pangkalan Bridget Kem Pangkalan Chepa, Kelantan selepas Kem Desa Pahlawan juga di Kelantan.

"Masa itu saya mengandungkan anak pertama hasil perkongsian hidup dengan Datuk Salleh Ismail yang kini memegang jawatan Kapten Ajutan 3 Division Melaka, KPM.

"Alhamdulillah, saya dan suami dapat menghadapinya dengan penuh kesyukuran," ujarnya.

Maimunah dan Salleh dikurniakan dua orang putera dan dua orang puteri.

Mengimbau saat-saat beliau dinaikkan pangkat menjadi Penyelia Pegawai Khidmat Pelanggan, KPM, 18 tahun yang lepas, Maimunah merasa seolah- olah tidak puas dengan apa yang disumbangkannya sehingga ke hari ini.

"Kalau ikutkan hati saya ingin kekal bersama-sama dengan KPM. Tetapi kata orang setiap yang patah pasti akan tumbuh, yang hilang pasti akan berganti.

"Biarlah saya beri laluan kepada orang lain menjawat-jawatan ini," jelasnya.

Beliau yang memilih bersara awal pada tahun hadapan diraikan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasa mu dikenang (AWAM) bersama-sama pesara dan penerima anugerah anjuran Kementerian Pertahanan peringkat Markas 12 Briged yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KPM, Jesbil Singh Bahadur Singh.

Dalam majlis itu, Maimunah menerima Pingat Pekerti Terbilang sebagai penghargaan di atas usaha dan sumbangannya yang cemerlang sepanjang perkhidmatannya dalam KPM dalam bahagian pengurusan.

Title: Perak Man muncul lagi
Date of publication: 21 07 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 182
Edition: Lembah Kelang
Column: SEMASA
Page No: 05

KUALA LUMPUR 20 Julai - Bersempena dengan Festival Kuala Lumpur 2006 yang berlangsung selama sebulan bermula 1 Julai ini, orang ramai kini berpeluang melihat secara dekat manusia zaman batu atau Perak Man pada pertengahan bulan ini.
Pameran kali kedua yang diadakan di Muzium Negara itu, dijangka akan menarik lebih ramai lagi pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menurut Pengarah Pengurusan, Pembangunan dan Sumber Maklumat Jabatan Muzium Malaysia, Ibrahim Ismail, atas permintaan ramai, Perak Man pernah dipamerkan di Tokyo tidak lama dulu.

"Orang Jepun sangat tertarik dan berminat untuk melihat manusia berbangsa Australomelanesoid atau Perak Man secara dekat.

"Jadi saya rasa masyarakat kita juga tidak patut ketinggalan menyaksikan manusia yang berusia lebih dari 11,000 tahun ini," katanya ketika Forum Kurator Muzium dan Kerjaya yang disampaikan oleh Kurator, Unit Sumber Manusia, Zuriana Zanziba, di sini baru-baru ini.

Forum yang diadakan di Auditorium 1, Muzium Negara itu turut diselitkan maklumat mengenai peluang-peluang pekerjaan yang terdapat di Muzium Negara mengikut tahap pendidikan mereka yang berminat.

Orang ramai yang ingin berkunjung ke pameran khas Perak Man, hanya dikenakan bayaran RM2, manakala guru-guru dan para pelajar adalah percuma.

Title: Kawasan tanah runtuh hanya ditutup kanvas Date of publication: 20 06 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 248
Edition: Lembah Kelang
Column: NEGERI
Page No: 30

KUALA LUMPUR 19 Jun - Kawasan tanah runtuh di lereng bukit Kampung Pasir, Hulu Klang yang meragut empat nyawa pada 31 Mei lalu, kini hanya ditutup menggunakan kanvas untuk mengelak hakisan dari terus berlaku.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah merentang tali untuk menghalang orang ramai daripada memasuki kawasan terbabit.

Seorang penduduk, Tina Abdul Rahman, 38, memberitahu, para penduduk kampung itu juga dilarang memasuki kawasan tersebut bagi mengelakkan tragedi berulang.

Katanya, kawasan itu sentiasa dikawal oleh penguat kuasa MPAJ selama 24 jam sejak kejadian tanah runtuh itu berlaku.

"Ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Nanti siapa yang akan bertanggungjawab," katanya ketika ditemui di kampung itu petang ini.

Dalam kejadian tanah runtuh hujung bulan lepas, empat beranak mati tertimbus dalam runtuhan yang berlaku kira-kira pukul 4.45 petang.

Mereka yang terbunuh ialah Fatimah Suri Sinon, 72, dan tiga cucunya, Hayati Mat Yunus, 24, Siti Lidia Shahrul Pahimin, 4, dan Iqlima Mahmood, 3.

Seorang lagi penduduk Kampung Pasir, Fahmi Marbi, 40, berkata, MPAJ telah membuat parit bagi membolehkan air yang bertakung di kawasan tanah runtuh mengalir.

Bagaimanapun, tanda-tanda untuk membuat benteng di kawasan kejadian belum dijalankan lagi.

Utusan Malaysia turut difahamkan terdapat tiga kumpulan yang terdiri daripada tiga ke empat orang bergilir-gilir mengawasi kawasan tanah runtuh itu.

Menurut Saiful Suhatri, 36, yang turut menjadi mangsa dalam kejadian itu, pihak MPAJ bersungguh-sungguh menjalankan tugas mereka.

"Pekerja-pekerja MPAJ sentiasa bergilir-gilir 24 jam membetulkan kanvas yang terselak ekoran hujan dan cuaca yang tidak menentu," ujarnya.

Title: Restoran untuk si miskin
Date of publication: 20 04 2006
Author: ABDUL RAKIS SANTA
Number of words: 680
Edition: Lembah Kelang
Column: RENCANA
Page No: 26

Dahulu kawasan di Buenos Aires, Argentina itu terkenal sebagai zon pelancongan eksklusif untuk golongan kaya dan menjadi tempat berlabuh kapal-kapal persiaran mewah dengan barisan restoran di sepanjang pelabuhannya.

Restoran-restoran itu menjadi tarikan kerana menyajikan pelbagai makanan dan minuman yang menyelerakan. Kini suasana itu bertukar menjadi kelam apabila sebuah kedai makan yang dikenali sebagai 'dapur miskin' khas untuk orang-orang miskin dibina di kawasan itu.

Rentetan daripada itu, para pelancong yang berkunjung ke kawasan tersebut menjadi 'mangsa' akibat perdebatan yang berlaku antara masyarakat tempatan Argentina.

Seorang pemimpin sayap kiri, Raul Castells, yang merupakan seorang penganggur adalah pelopor kepada 'dapur miskin'. Dia memberitahu bahawa tujuan menyediakan makanan percuma di barisan restoran mewah itu adalah untuk menunjukkan keadaan sebenar kemiskinan yang berlaku di Argentina.

"Sesetengah orang membelanjakan sekurang-kurangnya AS$300 (RM1,089) untuk satu malam di sini, tetapi mereka tidak sedar terdapat 20 juta orang di Argentina tinggal dalam kedaifan.

"Malah, beratus-ratus orang di sini menjadikan tong sampah sebagai punca makanan mereka," kata Castells.

Setiap Khamis, 'dapur miskin' akan memulakan operasinya di kawasan mewah Puerto Madero berdekatan dengan kedai di River Plate. Operasinya dibantu oleh kira-kira 600 orang sukarelawan yang menyediakan roti bakar dan teh panas Argentina yang dikenali sebagai 'mate' serta diminum menggunakan straw logam.

Menurut Castells, wang sebanyak AS$9 bilion (RM32.67 bilion) yang sepatutnya diberikan kepada penduduk miskin Argentina digunakan oleh Presiden Nestor Kirchner untuk membayar hutang kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) seperti yang dilakukannya pada bulan Januari lepas.

Oleh sebab itu, beliau berikrar kedai makan miliknya itu diharap memberi gambaran sebenar tentang Argentina secara keseluruhannya. Beliau mengumumkan malam Khamis sebagai 'tempat pem belaan orang miskin Argentina'.

Statistik terbaru kerajaan menunjukkan sebanyak 38.5 peratus daripada 36 juta warga Argentina tinggal dalam kemiskinan. Argentina pernah dianggap sebagai sebuah negara miskin di dunia seabad lalu.

Bagaimanapun, selepas berakhirnya tahun 2002 masalah hutang dan penurunan nilai mata wang yang ketara memberi impak kepada ekonomi Argentina yang mula meningkat.

"Kami meletakkan tanda dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Jerman, Perancis dan Jepun untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada para pelancong.

"Anjing yang dipelihara di negara-negara kaya lebih mendapat jagaan makanan berbanding rakyat miskin Argentina dan ini seharusnya disedari oleh para pelancong," ujarnya.

Sementara itu, pekerja sosial Silvia Novoa turut me nyaksikan 'dapur miskin' dibuka pada setiap hari Khamis yang berhadapan dengan hotel mewah, restoran stik, kedai kopi dan rumah presiden negara itu.

Pada masa yang sama seorang lelaki memegang tanda yang tertulis 'Tempat Untuk Menghilangkan Kelaparan' di samping seorang lagi yang berada di hadapan memakai pakaian semut tanpa lengan sebagai menggambarkan perpaduan orang miskin.

"Ia satu tamparan hebat kepada golongan kaya. Malah, satu kejutan juga untuk kawasan eksklusif seperti ini," kata Novoa.

Sukarelawan turut meletakkan kotak mi pasta di atas para yang tertulis 'Pemberian Untuk Orang Lapar' ketika memasak kuih roti bakar. Pada dinding 'dapur miskin' pula digantung gambar tokoh revolusi berhaluan kiri Argentina, Ernesto 'Che' Guevara. Sekeping gambar yang diikat menggunakan tali turut menun jukkan kanak-kanak di hospital kekurangan zat.

"Penduduk Argentina seharusnya gembira mengenai perkara ini," usik pelancong Sepanyol, Maritina Benito.

Tetapi Mar Gutierrez, 21, yang berasal dari Madrid berkata, restoran untuk orang miskin itu sudah tentu bertujuan membangkitkan kemarahan pihak lain.

Kawasan itu menawarkan pelancong dengan pelbagai masakan. Daripada cara Brazil dan Argentina, ia turut menawarkan restoran stik, bistro, bararak dan kafe luar di mana kapucino disediakan oleh pelayan yang berpakaian tuksedo.

"Bagi mereka yang tidak merasakan kesusahan, tempat ini adalah

merimaskan, tetapi kepada mereka yang hidup dalam kemiskinan tempat ini adalah lebih baik," kata Susana Alicia Munoz yang datang ke 'dapur miskin' itu tiga kali seminggu.

Dia yang yatim-piatu datang ke situ bersama-sama dengan anaknya untuk mendapatkan makanan percuma.

Ada juga yang lebih sinis apabila melihat lokasi 'dapur miskin'.

"Ini adalah sarkas. Tidak syak lagi dan saya tidak terfikir ia akan bertahan lama," kata pekerja baik pulih, Walter Diaz.

"Sebenarnya mereka mengambil kesempatan untuk menggambarkan bahawa mereka membantu orang susah semata-mata kerana politik.

"Mereka yang memerlukannya akan sanggup datang walaupun dari jauh dan ini contoh buruk untuk pe lancong," ujarnya. - AP

Monday, July 31, 2006

Selamat Bertugas Wartawan Kadet Utusan...

Hari ini merupakan hari pertama blog Utusan Warta1 dilahirkan. Blog ini dikhaskan untuk wartawan-wartawan junior di Utusan Malaysia yang baru sahaja mengorak langkah dalam bidang ini yang rata-rata daripadanya bukan mengambil jurusan kewartawanan semasa pengajian mereka di universiti dahulu.

Apapun mereka semua memang berbakat dalam bidang penulisan. Malah, ada diantara mereka yang telah beberapa kali mendapat 'byline'. Tetapi, tanpa bimbingan dari senior-senior Utusan kami semua tidaklah mencapai tahap ini. "Arigato gozaimasu Sensei.. Yorushiku onegai shimashita".

Untuk syarikat kami bernaung Kumpulan Utusan Melayu, kami wartawan baru akan berusaha sedaya mungkin untuk memantapkan lagi kedudukan syarikat disamping menyumbang kepada kandungan bacaan akhbar Utusan yang boleh mengubah pemikiran masyarakat sebagaimana sejarah Utusan Melayu tidak lama dahulu (Sebelum Merdeka).

P/s; untuk senior2 sila beri tunjuk ajar...